FEBRUARI 2011, Satu program aktiviti bulan akademik telah diperkenalkan untuk julung kalinya di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Jalan Reko, Kajang, Selangor. Bulan Bahasa Melayu dan Komunikasi telah dilaksanakan sepanjang bulan Februari. Bulan akademik tersebut dirancang dan dikendalikan sepenuhnya oleh Pn. Chin Feck See dan Pn. Siti Khadijah bt Rosli. Pelancaran majlis perasmiannya telah diadakan di peringkat PPKI pada 8 Februari 2011 oleh Pn. Siti Aliza binti Salleh, wakil Penolong Kanan Pendidikan Khas PPKI SMK Jalan Reko, Kajang, Selangor. Objektif Bulan Bahasa Melayu dan Komunikasi antaranya adalah memperkembangkan kemahiran berbahasa pelajar untuk berkomunikasi , berinteraksi dan bersosialisasi dengan menepati tata susila masyarakat majmuk; serta memberi peluang untuk pelajar meneroka dan berinteraksi dengan persekitaran. Sehubungan itu beberapa aktiviti yang menjurus ke arah objektif tersebut telah dirancang dan dilaksanakan di dalam kawasan sekolah iaitu bercerita, pengucapan awam, lakon dan teka; serta menemuramah guru yang disayangi. Pelbagai aktiviti luar bilik darjah juga telah dilaksanakan iaitu explorace, dan permainan menyampaikan pesanan di Taman Tasik Cempaka Bangi pada 22 Februari 2011. Acara kemuncak aktiviti Bulan Bahasa Melayu dan Komunikasi adalah majlis penutupan rasmi yang diadakan pada 22 Februari di Kompleks PKNS Bangi oleh Pn. Yap Eit Moy, Penolong Kanan Pendidikan Khas PPKI SMK Jalan Reko, Kajang, Selangor.Secara keseluruhannya, perlaksanaan bulan Bahasa Melayu dan Komunikasi ternyata telah dilaksanakan dengan jayanya dan memberi impak yang amat positif terutamanya dari segi meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan kemahiran sosialisasi murid PPKI khususnya.
No comments:
Post a Comment